VIRTUAL SABAH YOUTH DAY 5 2021

RASIONAL PROGRAM

Golongan belia secara amnya adalah golongan yang aktif, berpotensi, berbakat, berkepimpinan dan penuh dengan impian. 51% daripada populasi di Asia terdiri daripada golongan belia. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada hujung tahun 2020, jumlah warganegara Malaysia ialah 32.7 juta orang dan daripada jumlah ini, dianggarkan 16.7 juta merupakan golongan belia berusia 15-44 tahun.

Ramai belia terlibat dalam pembangunan negara termasuklah dalam aktiviti kemasyarakatan. Zaman globalisasi menawarkan banyak pilihan dan peluang untuk belia mengembangkan potensi dan meningkatkan taraf kehidupan. Justeru itu, golongan ini dilihat sebagai harapan bangsa dan negara. Gereja juga melihat golongan ini sebagai harapan serta pemimpin hari ini dan masa hadapan, seperti yang sering diucapkan oleh pengasas Hari Belia Sedunia, Bapa Suci Sangti Yohanes Paulus II, “Belia adalah harapan hari esok, belia adalah harapan gereja dan masyarakat”.

Masa muda merupakan khazanah bagi kehidupan, inspirasi, kreativiti dan impian. Ia merupakan fasa kehidupan di mana seseorang dipenuhi dengan semangat untuk melakukan perubahan. Faktor inilah yang memberi aspirasi kepada seseorang untuk menginginkan sesuatu yang lebih baik, indah dan benar demi kepenuhan hidup. Melalui semua inilah kita menemukan Tuhan di mana Dia adalah keindahan, kebaikan dan kebenaran itu sendiri.

Namun tidak dinafikan belia mengalami pelbagai situasi dalam mencapai impian hidup mereka. Dunia masa kini penuh dengan dendam, ancaman dan persaingan. Di Sabah dan Malaysia amnya, berlaku persaingan dan diskriminasi dari segi hak agama, bangsa dan budaya yang mewujudkan ketidakharmonian dalam masyarakat majmuk. Keadaan ini mempengaruhi perkembangan peribadi belia menyebabkan mereka sendiri menjadi mangsa dan hilang harapan dalam kehidupan.

Iman yang rapuh memberi ruang kepada nilai-nilai sekularisasi dan ideologi agama lain dengan mudah “menundukkan” keperibadian seseorang itu untuk meninggalkan iman mereka. Belia Katolik pada masa kini juga tidak lari dari berhadapan dengan situasi ini hingga mereka leka dan dikaburi oleh arus kemodenan dunia. Kesannya ramai yang tidak peduli terhadap ajaran gereja dan tidak percaya kepada Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat. Akibatnya, iman itu telah menjadi yang bukan “utama”.

Sekularisasi, `sikap tidak peduli`, kehidupan sosial yang tidak mementingkan moral dan arus negatif globalisasi juga telah menjadi punca kepada keruntuhan nilai-nilai kemanusiaan. Ancaman-ancaman ini telah menular bukan saja dalam institusi keluarga tetapi juga menggugat kesatuan dalam gereja dan masyarakat.

Sekali dalam empat tahun SYD dirayakan bagi belia Katolik diseluruh Sabah. Namun pada SYD5 kali ini yang seharusnya dirayakan pada tahun 2020 telah ditunda penganjurannya pada tahun 2021 kerana pandemik covid-19 yang telah melanda dunia hingga ke saat ini. SYD5 diteruskan dengan penganjuran yang unik dimana ia dianjurkan secara “virtual” pada tahun ini.

Walaupun penganjuran SYD5 ini berbeza dari SYD yang sebelumnya namun kita tetap percaya Yesus tidak meninggalkan para belia dalam perjalanan hidup di dunia ini. Pandemik tidak harus diberi peluang untuk melemahkan iman, ia harus di terima sebagai cabaran untuk saling menguatkan di antara satu dengan yang lain melalui persahabatan dan semangat solidariti dalam Kristus.

Virtual SYD5 dapat dilihat sebagai satu langkah dimana apapun keadaan dunia ini Gereja masih mempedulikan para belia Sabah dan ingin berjalan bersama dalam menemukan jawapan bagi persoalan iman dan hidup mereka.

Sedikit sebanyak virtual SYD5 dapat memberi ruang kepada para belia untuk saling mengongsikan pengalaman iman, kepahitan, kelukaan, kegembiraan, kurnia yang mereka miliki dan mengalami cinta kasih Tuhan melalui persahabatan dengan sesama. Walaupun terbatas kerana keadaan pandemik yang melanda namun ia tidak menghentikan semangat solidariti para belia untuk tetap bersatu dan saling menyokong dalam menghadapi cabaran-cabaran hidup. Belia perlu lebih peka akan cabaran dunia masa kini dan berfikir secara lebih kritikal dan global serta menyedari peranan mereka sebagai Gereja.

Setelah para belia mengalami sendiri kehadiran Tuhan dalam hidup, mereka akan terdorong menjadi murid-murid Yesus yang setia, komited dan lebih efektif dalam pelayanan sesama belia, keluarga, gereja dan masyarakat. Bersesuaian dengan tema Virtual SYD 5, para belia dapat meneladani Bonda Maria untuk berani menyatakan, “Aku ini hamba Tuhan, terjadilah padaku menurut perkataan-Mu”.

OBJEKTIF PROGRAM

Membawa para peserta untuk merayakan iman sebagai belia Katolik di Sabah

Agar para peserta dapat merenung, menghayati, dan mengikuti teladan Bonda Maria yang setia terhadap panggilan Tuhan

Agar para peserta diteguhkan untuk berani menjadi saksi-saksi Kristus di era Millennial

TEMA PROGRAM

“Aku ini hamba Tuhan. Terjadilah padaku menurut perkataan-Mu” (Lukas 1:38)