SEJARAH SABAH YOUTH DAY

LATAR BELAKANG

Idea untuk menganjurkan Pesta Belia di peringkat Keuskupan Keningau dan Kota Kinabalu lahir selepas PBK 1998 di Sandakan. Ini telah direalisasikan semasa Jubli Belia Tahun 2000 apabila Komisi Belia Keuskupan Kota Kinabalu dan Komisi Belia Keuskupan Keningau bersetuju menganjurkan pesta bersama-sama sempena menyambut Jubli Agung Tahun 2000 yang diadakan di Kota Kinabalu. Jumlah belia yang menyertai pesta tersebut amat menggalakkan dan ini telah mendorong kedua-dua Keuskupan untuk mengadakan pesta bersama setiap kali dalam 4 tahun. Kedua-dua Keuskupan akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah dan ini bermula di Keningau pada tahun 2004.

Komisi Belia dari kedua-dua Keuskupan telah bersetuju mengambil satu lagi nama bagi pesta ini. Setelah beberapa pertemuan, Komisi telah sebulat suara menggunakan SABAH YOUTH DAY (SYD) sebagai nama pesta tersebut. Ini adalah berdasarkan kepada nama-nama pesta yang dianjurkan di peringkat antarabangsa seperti WORLD YOUTH DAY (WYD) dan ASIAN YOUTH DAY (AYD). Nama SYD mudah disebut dan diingati. Setiap kali SYD disebut, ia jelas merangkumi kedua-dua keuskupan di Sabah.

Sejak tahun 2004, SYD atau Sabah Youth Day telah menjadi satu acara Gereja bersama belia, untuk belia dan dari belia. Ia adalah hasil dari Jubli Belia Tahun 2000 yang mana pada masa tersebut Komisi Belia Keuskupan Kota Kinabalu dan Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Keningau bersetuju mengadakan pesta belia besama sekali dalam 4 tahun.

SYD-1 telah diadakan di Keningau pada 23 -27 Ogos 2004 dengan tema, “Kami ingin bertemu dengan Yesus”  (Yohanes 12:21).  Ia disertai lebih dari 1000 belia.  Sementara SYD-2 telah diadakan pada 19 -23 Ogos 2008 di Ranau. Temanya adalah “Kamu akan menerima kuasa kalu Roh Kudus turun ke atas kamu dan kamu akan menjadi saksi-Ku” (Kisah 1:8). Hampir 2000 belia telah datang bersama-sama menyertai program ini.  Pada tahun itu, buat pertama kalinya empat paroki dari kawasan pantai timur (iaitu Sandakan, Telupid, Lahad Datu dan Tawau) menyertai SYD-2  sebagai  keuskupan  Sandakan.  Ini telah menjadi satu sejarah bagi SYD sebab ia merupakan program gabungan tiga keuskupan di Sabah. Konsep SYD-2 juga agak berlainan dari yang lalu sebab kali ini ia melibatkan keluarga di mana kebanyakan peserta ditempatkan bersama keluarga angkat dari seluruh paroki Ranau.  Pada penghujung Misa SYD-2, Uskup Agung John Lee mengumumkan SYD-3 akan diadakan di Tambunan pada tahun 2012.